Ringkasan Madu Tiga

Watak utama filem ini, Jamil (P. Ramlee) mengahwini tiga wanita tanpa seorang pun daripada mereka menyedari bahawa suami mereka berpoligami. Sebelum ini, Jamil dan Latifah (Zaharah Agus) sudah berkahwin selama 12 tahun. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Semasa Jamil yang licik itu mengahwini Hasnah (Jah Mahadi), dia berbohong dengan mengatakan kononnya Latifah mengizinnya berkahwin lagi kerana Jamil dan Latifah tidak dikurniakan anak. Jamil yang bekerja dengan bapa Latifah memberitahu bapa mertuanya (Ahmad Nisfu) itu mengenai perkahwinan tersebut. Lama kemudian, semasa dia pergi mengutip sewa rumah, Jamil jatuh cinta pada anak perempuan kepada salah seorang penyewa rumahnya, Rohani, (Sarimah) dan bercadang untuk mengetahuinya. Atas bantuan (dan galakan) daripada bapa mertuanya, Jamil dengan liciknya mengaturkan agar ketiga-tiga perkahwinannya itu dirahsiakan daripada isteri-isterinya. Namun demikian, tembelangnya terbongkar apabila ketiga-tiga isterinya itu bertemu di sebuah salun rambut. Rohani menjemput Latifah dan Hasnah untuk minum teh di rumahnya. Mereka kemudiannya menjumpai gambar perkahwinan Jamil dan Rohani. Ketiga-tiga madu itu mula bersahabat dan berpakat antara satu sama lain, menyebabkan Jamil akhirnya terperangkap akibat pembohongan yang dilakukannya selama ini.